KLANG, 10 Nov – Beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam dilanda banjir kilat selepas hujan lebat sejak jam 2 petang tadi serta keadaan parit yang tersumbat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kawasan yang terjejas ialah Jalan Meru 3, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Kasban, Jalan Kenangan, Taman Daya, Jalan Khamis, Jalan Jabar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai banjir di kawasan berkenaan jam 4.15 petang.
Susulan itu, beliau berkata, seramai 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dan Sungai Pinang bergegas ke lokasi.
“Beberapa jalan serta taman perumahan di sekitar pekan Meru dinaiki air susulan hujan lebat serta longkang yang tersumbat,
“Anggaran kedalaman banjir adalah sekitar 0.3 meter dan tiada pemindahan dilakukan setakat ini dengan trend air banjir juga semakin menurun,
“Bagaimanapun, bomba akan meneruskan pemantauan di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Selain itu, sebanyak 20 rumah di Taman Setia Warisan Seksyen U6 terkesan akibat limpahan air sungai berhampiran susulan hujan lebat.
Kawasan lain turut dinaiki air antaranya, Jalan Haji Abdul Manan, Taman Seri Puteri, dan Jalan Limau di Meru; Taman Seri Sementa; Klang Sentral; Sungai Kapar Indah; Persiaran Hamzah Alang Kapar dan Bandar Puteri Klang.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua jentera dan aset serta agensi berkaitan bersiap sedia untuk diaturgerakkan ke kawasan banjir kilat di negeri ini.
“Beberapa kawasan di Kapar dan Meru dilaporkan dinaiki air. Aset dan jentera dari pihak Bomba dan Penyelamat sedang digerakkan,
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Bencana Daerah bersiap sedia,” katanya dalam hantaran di media sosialnya pada Khamis. -airtimes.my