JOHOR BAHRU, 24 Feb – Sebuah kilang dipercayai memproses bahan kimia terbakar di Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran itu pada jam 5.16 petang.
Katanya, seramai 12 anggota diketuai oleh Komander Operasi Ibrahim Omar dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang menjalankan operasi pemadaman kebakaran.
“Seramai 26 anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dan Johor Jaya turut membantu operasi,
“0perasi pemadaman masih dijalankan sehingga kini, dan sama ada ia membabitkan pembakaran tangki di kilang kimia itu masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 43 saat yang memaparkan detik-detik sebuah premis terbakar dengan api yang besar menjulang ke udara.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik oleh orang awam itu, kelihatan kepulan asap hitam ‘gergasi’ naik ke udara ekoran api yang sedang marak.
Menurut laman Facebook Pejabat Penerangan Daerah Johor Bahru, kejadian tersebut didakwa berlaku di kilang Lotte Chemical Titan yang terletak di Tanjung Langsat, Pasir Gudang.-airtimes.my