KUALA LUMPUR, 1 Apr – Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad berkuatkuasa serta merta.
Dalam satu kenyataan MOF hari ini, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Datuk Mohammed Azlan Hashim juga dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad berkuatkuasa serta merta.
Khazanah dalam satu kenyataan, turut mengalu-alukan pelantikan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan dua lagi ahli Lembaga Pengarah yang baharu.
“Khazanah menyambut baik pelantikan tersebut dan akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Pengarah yang baru dibentuk semula untuk terus memenuhi mandatnya sebagai dana kekayaan berdaulat Malaysia,” katanya.
Selain itu, Khazanah juga ingin mengumumkan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah berkuatkuasa 25 Mac 2020.
“Bagi pihak pengurusan dan kakitangan, Khazanah ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir atas kepimpinan, bimbingan dan sumbangannya sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Pengerusi,” kata kenyataan itu.