KUALA LUMPUR, 27 Dis – Penduduk Kampung Segambut Permai semakin bimbang mengenai status tempat tinggal mereka kerana kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) yang ditawarkan hanya untuk tempoh 6 bulan sahaja.
Memandangkan tarikh meroboh kediaman semakin hampir, iaitu pada 6 Januari 2020, penduduk menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempercepatkan pemberian rumah alternatif kepada baki keluarga yang masih menunggu unit PPR.
Wakil penduduk Kampung Segambut Permai, Mohd Nazeem Sultan Mohamed berkata Kementerian Wilayah Persekutuan memberi surat aku janji untuk menyediakan perumahan alternatif kepada penduduk yang terjejas, dua minggu dari tarikh surat tersebut diberi (9 Disember).
“Dalam keadaan tertekan, kami tidak menjangkakan rumah diberi hanya boleh didiami selama 6 bulan sahaja,
“Tempat ini teruk, kotor dan ianya perlu dibaik pulih sebelum didiami. Saya takut selepas rumah ini diubahsuai, 6 bulan kemudian kami kena keluar dari sini,” tambah Nazeem.
Beliau bersama 33 orang penduduk berkumpul di hadapan Bangunan DBKL bagi mendesak pihak Kementerian Wilayah Persekutuan mengambil perhatian akan isu yang berlaku.
Setakat ini, hanya 22 keluarga telah menerima tawaran PPR dan penduduk turut mengharapkan agar rumah yang diberi berdekatan dengan Segambut kerana majoriti mereka bersekolah serta bekerja di kawasan itu.
Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan memberi surat tawaran kepada 25 isi rumah untuk tinggal di PPR selama enam bulan dan mereka boleh melanjutkan tempoh tinggal di situ sekiranya memenuhi syarat dikenakan, iaitu berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.