KUALA LUMPUR, 18 Okt – Jika industri media mengubah cara perbelanjaan dalam menentukan kandungan mereka, industri tersebut dilihat ‘tidak akan mati’ untuk menghadapi era digital, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.
Liew berkata ini kerana masih terdapat ramai lagi sanggup membelanjakan wang untuk mendapatkan berita yang sahih daripada media arus perdana dimana perluang tersebut harus digunakan dengan sebaiknya.
“Dengan kewujudan berita-berita palsu masa kini, masih ada pembaca yang setia untuk membayar (melanggan berita daripada media arus perdana) demi mendapatkan berita sahih,
“Oleh itu, cara berbelanja untuk menentukan kandungan industri ini perlu diubah kerana saya melihat kebanyakkan syarikat media mampu terus kekal sama ada dalam bentuk media cetak ataupun atas media atas talian,” katanya.
Beliau seterusnya memperjelaskan bahawa dengan peredaran zaman masa kini, beliau menyifatkan setakat ini, tiada agensi media yang mampu memenuhi kemahuan pembaca mengenai isu semasa golongan berkenaaan.
“Kita ingat Melayu ini orang kampung, tapi sebenarnya ada orang Melayu yang ‘English educated’ dan mempraktikkan akhbar berbahasa Inggeris. (Namun kini) Kita ada orang Melayu yang bukan orang kampung dan bukan ‘English educated’,
“Saya yakin dalam hal ini, tiada agensi media yang mampu memenuhi pembacaan golongan tersebut. Ini yang perlu kita lihat semula,” katanya pada sesi forum bertajuk ‘Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Dicetak’ anjuran Persatuan Alumni Komunikasi Massa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam, semalam.
Selain Liew, panelis lain dalam forum itu ialah Penasihat Komunikasi dan Media kepada Perdana Menteri, Datuk Abdul Kadir Jasin, Penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Khalid Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan dengan moderator, juruperunding pemasaran, Prof Abdul Hamid Mohamed.
Forum yang dihadiri kira – kira 150 peserta, dianjurkan oleh Persatuan Alumni Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Rembau, Negeri Sembilan.