KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan calon Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN), tidak boleh terikat dengan membuat perjanjian untuk mengekalkan struktur kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau menerusi kenyataan berkata, calon tersebut juga harus taat kepada titah Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan sebuah kabinet yang mampu menterjemahkan permuafakatan dan perpaduan semua parti-parti politik dalam tempoh untuk menangani COVID-19.
“Dalam Mesyuarat Majlis Kerta Tertinggi (MKT) malam tadi, saya menegaskan bahawa siapapun yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri daripada BN dan UMNO, tidak boleh mengikat dirinya dengan apa jua bentuk perjanjian untuk mengekalkan struktur kabinet kerajaan PN yang lalu,
“Calon tersebut juga harus taat kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan sebuah Kabinet yang mampu menterjemahkan permuafakatan dan perpaduan semua parti-parti politik dalam tempoh untuk menangani COVID-19,
“Menguruskan kesejahteraan rakyat dan agenda pemulihan negara, sebelum masa sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya.
Katanya, sebagaimana yang dimaklumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkongsi intipati titah Yang di-Pertuan Agong yang berkali-kali menegaskan dalam sesi mengadap Ketua-ketua Parti semalam.
“Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua,
“Tentunya ada sebab dengan penuh hikmah kenapa Yang di-Pertuan Agong menitahkan ‘Undi Percaya’ atau ‘Vote of Confidence’ dilakukan di Parlimen untuk mengabsahkan kedudukan Perdana Menteri, setelah dinamakan kelak oleh baginda,” ujarnya.
Terdahulu, MKT UMNO dan Ahli Parlimen BN telah bersetuju mencalonkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon tunggal Perdana Menteri. – airtimes.my