PUTRAJAYA, 16 Mei – Tempoh reman seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat swasta bergelar ‘Datuk’ disambung empat hari lagi bermula esok bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berkaitan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara.
Sementara itu, seorang ketua pegawai kewangan (CFO) wanita syarikat terbabit yang sebelum ini turut direman empat hari bersama lelaki berumur 45 tahun itu sejak 13 Mei lepas, dibebaskan hari ini dengan jaminan RM50,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin.
Perintah sambung dan bebas reman itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim setelah membenarkan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini.
Kedua-dua individu itu yang memakai baju lokap SPRM berwarna oren dilihat memasuki perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi.
Menurut sumber SPRM, kedua-dua individu itu ditahan kerana disyaki menerima rasuah berkaitan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara berjumlah lebih RM17 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.
Sementara itu, bagi kes menerima dan memberi rasuah RM200,000 melibatkan seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mahkamah sama membebaskan dua kontraktor yang direman empat hari bermula 13 Mei dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – BERNAMA