KUALA LUMPUR, 17 Julai – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal seperti didakwa dalam satu laporan portal pada 14 Julai lalu.
“Merujuk kepada kenyataan Mohd Shafie dalam wawancara beliau dengan Malaysiakini pada 14 Julai 2020,
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah sekalipun menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada beliau pada Mac selepas saya menjadi Perdana Menteri, seperti yang didakwa,
“Saya menyifatkan kenyataan Mohd Shafie dalam wawancara sama yang menyatakan, “Beliau tidak menyebutnya, tetapi saya tahu mengenai hal itu” sebagai tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, dalam satu wawancara Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu mendakwa Muhyiddin pernah menawarkannya untuk menyertai kabinet Perikatan Nasional (PN) sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Menurut Mohd Shafie, Muhyiddin telah menghubunginya kira-kira dua minggu setelah PN berkuasa, dan mencadangkan pertemuan antara mereka,
“Ketika itu beliau sudah memegang jawatan tersebut (PM), beberapa minggu saya fikir, beliau menghantar SMS kepada saya. Beliau mengatakan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk kami bercakap,” katanya.
Namun, beliau menegaskan lebih berminat untuk membincangkan isu antara kerajaan Sabah dan persekutuan daripada bercakap soal bergabung dengan PN. – airtimes.my