KUALA LUMPUR, 13 Jul – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun digesa mengeluarkan kenyataan rasmi bagi memberi penjelasan lengkap berhubung rampasan aset syarikat minyak negara oleh pewaris kesultanan Sulu sebagaimana yang dilaporkan Financial Times.
Menurut laporan yang berpangkalan di London itu menyatakan, waris Kesultanan Sulu telah merampas 2 anak syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxembourg dengan menuntut RM62.59 biliion dari kerajaan Malaysia.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Idrus perlu menjelaskan laporan tersebut termasuk 4 persoalan antaranya apakah langkah-langkah perundangan yang telah dan sedang diambil oleh Pejabat Peguam Negara untuk memelihara kepentingan aset serta kedaulatan negara.
Menurutnya, Idris perlu dijelaskan juga tentang kedudukan prosiding ataupun keputusan muktamad berhubung permohonan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol.
“Idrus perlu menjelaskan juga apakah kedudukan prosiding ataupun keputusan muktamad berhubung permohonan untuk rayuan penuh di Paris Court of Appeal terhadap Perintah Exequatur dari Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis yang telah mengiktiraf awad asal bidang kuasa yang yang dikeluarkan oleh timbang tara Dr Stampa pada 25 Mei 2020 (yang memihak kepada ‘waris’ Kesultanan Sulu itu),
“Adakah terdapat mana-mana prosiding pelaksanaan lanjutan dan di mana-mana bidang kuasa berlainan yang masih wujud, berkaitan awad asal bidang kuasa yang dikeluarkan oleh timbang tara tersebut (yang sepatutnya telah dibatalkan akibat perintah pembatalan oleh Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol pada 29 Jun 2021), yang berjumlah RM63 bilion itu,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, waris kesultanan Sulu dilaporkan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.
Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas kepada tindakan Malaysia yang didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 dan dikatakan melanggar Perjanjian 1987 ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo. -airtimes.my