LUMUT, 12 Apr – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan Latihan Perang Pangkor Siri 15/22 bagi menguji tahap kesiagaan kapal dan keupayaan armada serta warganya dalam melaksanakan tugasan teras di lapangan.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) berkata, latihan yang disertai oleh KD LEKIU, KD JEBAT, KD GAGAH SAMUDERA dan KTD PENYU telah diadakan di perairan Selat Melaka pada Isnin.
Menurutnya, aset sokongan iaitu pesawat FENNEC dan Fast Combat Boat (FCB) turut serta mempamerkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan siri latihan kali ini.
“Tumpuan Tim Penilai dari Bahagian Kesiagaan dan Prestasi, MPAB dalam siri latihan kali ini adalah meliputi aspek peperangan serta ilmu kelautan, navigasi serta komunikasi,
“Penilaian kefungsian peralatan sekiranya berlaku sebarang kerosakan turut dilaksanakan bagi menguji tahap ketersediaan warga kapal dalam menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka dalam situasi sebenar di lapangan,
“Latihan ini merupakan inisiatif berterusan yang dilaksanakan bertujuan untuk memperkasa tahap kesiagaan dan keupayaan armada serta warganya dalam melaksanakan tugasan teras di lapangan,” kata MPAB dalam kenyataan.
Jelasnya, TLDM sentiasa mempergiatkan usaha dan memanfaatkan setiap peluang yang tersedia bagi memastikan tahap kesiagaan armada serta warga TLDM berada di tahap tertinggi. -airtimes.my