MERSING, 17 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengedarkan video keselamatan penumpang feri sekiranya berlaku kecemasan di laut.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, video hebahan berdurasi 3 minit dilengkapi tips dan panduan seperti kepentingan memakai jaket keselamatan, penggunaan rakit keselamatan, dan peralatan kecemasan yang lain telah diserahkan kepada Jabatan Laut Malaysia di Jeti Penumpang Jabatan Laut, semalam.
“Selain itu, APMM turut mengedarkan brochure dan pelekat keselamatan yang dilengkapi nombor kecemasan Maritime Rescue Sub-centre (MRSC) Johor Bahru kepada pengusaha feri dan penumpang sebagai langkah pencegahan berlakunya kecemasan di laut kepada komuniti maritim di daerah ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Khairul Nizam, program itu telah dihadiri oleh pegawai dan anggota APMM Mersing, Jabatan Laut Malaysia wilayah Selatan, Mersing dan pengusaha feri.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan kepada seluruh komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
“Komuniti maritim perlu sentiasa memeriksa ramalan kaji cuaca dan membawa peralatan kecemasan yang lengkap,” tegasnya. -airtimes.my