KOTA BAHRU, 27 Jun – Pakatan Harapan (PH) Kelantan masih mengharapkan wakil pimpinan negeri itu diberi peluang untuk mengisi jawatan sebagai menteri dan timbalan menteri bagi mengimbangi kuasa di peringkat Pusat dan negeri.
Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa berkata, ini kerana tidak pernah Kelantan tidak mempunyai wakil menteri walaupun negeri itu sekian lama diperintah PAS.
Katanya, walaupun calon ketiga-tiga parti dalam PH gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, namun jawatan berkenaan penting.
“Berdasarkan senarai nama yang tular, tiada nama wakil dari Kelantan yang tersenarai namun masih ada beberapa lagi kekosongan. Malah, beberapa jawatan dalam kerajaan juga belum diisi termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
“Justeru kita berlapang dada sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi peluang kepada pemimpin PH dari Kelantan dan Terengganu.
“Kita bukan berebutkan jawatan namun untuk imbangi kuasa, perlu ada wakil. Malah Kelantan juga mempunyai tokoh untuk diangkat bagi mengisi jawatan berkenaan,” katanya kepada NSTP, di Kota Bharu, hari ini.
Wakil rakyat PKR dijangka paling ramai mengisi barisan Kabinet, diikuti DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Anggota Kabinet baharu akan mengangkat sumpah Isnin depan, tambahan kepada 13 menteri dilantik pada 21 Mei lalu.