KUALA LUMPUR, 20 Apr – Kes sembuh kekal melebihi kes baharu COVID-19 di negara ini dengan 10,619 kes dilaporkan setakat semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 4,274,746 individu sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.
Bagi kes baharu pula, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 6,069 kes baharu COVID-19, sekaligus ia menjadikan jumlah kumulatif kes di dalam negara sebanyak 4,122,004.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 5,959 kes adalah dari jangkitan tempatan dan 110 kes import.
“Sebanyak 2,598 kes atau 42.81 peratus merupakan pesakit COVID-19 kategori satu, manakala 3,426 kes atau 56.45 peratus membabitkan kategori 2,
“Sementara itu, sebanyak 21 kes atau 0.35 peratus bagi kategori 3, 10 kes atau 0.16 peratus (kategori 4) dan sebanyak 14 kes atau 0.23 peratus (kategori 5),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan sebanyak 45 kes bagi pesakit kategori 3 hingga 5. Manakala 9 kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian tersebut.
“Sebanyak 18 kes sudah menerima 2 dos vaksin COVID-19, tetapi tidak menerima dos penggalak sementara 18 kes lagi sudah menerima dos penggalak,
“Selain itu, 21 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan 26 kes lagi mempunyai komorbid,” katanya.
Tambahnya, hanya 5 kluster baharu direkodkan pada Selasa menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif adalah sebanyak 109 kluster.
“Sebanyak 97 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 59 daripadanya disahkan COVID-19, manakala kes disyaki kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 38,” tambahnya.
Tambahnya, sebanyak 64 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 36 kes disahkan COVID-19 dan 28 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan. -airtimes.my