MANILA, 9 Jun – Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana hari ini mengumumkan perancangan Manila untuk membelanjakan US$ 26 juta untuk membina struktur di pulau Laut China Selatan.
Beliau menyatakan perkara tersebut selepas merasmikan tanjakan pantai (beaching ramp) di Pulau Pag-asa.
Pembinaan tanjakan pantai bernilai US$ 5.3 bilion itu merupakan sebahagian daripada 4 fasa projek pembangunan pulau itu oleh Angkatan Tentera Filipina.
“Pembinaan tanjakan ini membuka laluan untuk projek seterusnya dengan membolehkan kerja-kerja membawa masuk bekalan serta peralatan pembinaan,
“Fasa kedua adalah untuk memperbaiki landasan kapal terbang yang tidak berturap. Fasa ketiga pula adalah untuk melakukan kerja penurapan di landasan tersebut manakala fasa terakhir melibatkan pembinaan fasiliti Tentera Udara Filipina,
“Kesemua baki projek ini adalah bernilai US$ 26 juta,” kata Lorenzana yang dipetik oleh media Filipina.
Pag-asa merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratlys yang dituntut oleh China, Taiwan dan Vietnam.
Pulau yang turut dikenali sebagai Thitu itu mempunyai keluasa 92 ekar dan didiami oleh 200 orang rakyat Filipina.
Filipina telah menguasai pulau kedua terbesar dalam Kepulauan Spratly tersebut semenjak 1971. Pulau ini turut menempatkan sebuah lapangan terbang sepanjang 1,300 meter dan satu stesen tentera laut. – AirTimes.my