KUALA LUMPUR, 26 Jun – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar segera menyatakan penegasan berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan dengan Kepualauan Riau.
Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, pihaknya memandang serius kenyataan yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Langkawi itu.
“Saya ambil serius perbahasan sekitar kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkait Kepulauan Riau baru-baru ini,
“Saya menggesa Perdana Menteri untuk menyatakan penegasan segera agar ia tidak berlarutan kerana pandangan tersebut tidak mewakili kerajaan atau rakyat Malaysia,
“Penjelasan ini juga diperlukan bagi mengelak dan menjejaskan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Singapura serta Indonesia,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya malam tadi.
Sebelum ini, Tun Mahathir dilaporkan berkata bahawa bukan hanya Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh harus dikembalikan, sebaliknya mencadangkan supaya Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura.
Tegasnya, Riau dan Singapura adalah sebahagian ‘Tanah Melayu’ berdasarkan sejarah. -airtimes.my