[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=bTJNUtNyz54[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 30 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima sumbangan bantuan banjir daripada kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk diagihkan kepada lebih 700 anggota, pegawai dan keluarga yang terkesan dengan musibah banjir di beberapa negeri baru-baru ini.
Bantuan telah disampaikan oleh Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Alghaith, kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, hari ini.
“Kami (ATM) amat berterima kasih atas sokongan dermawan yang diberikan oleh kerajaan UAE. Melalui sumbangan yang besar ini, ia pasti akan meringankan beban anggota ATM dan membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada misi dalam memberikan bantuan banjir,
“Anggota tentera pasti akan tenang kerana mengetahui keluarga mereka akan dijaga sementara mereka sedang mengorbankan nyawa untuk rakyat pada masa yang sukar ini,
“Untuk itu, kami amat berterima kasih kepada Tuan Yang Terutama dan kerajaan UAE atas pemahaman dan keprihatinan yang diberikan kepada warga Kementerian Pertahanan ini,” jelasnya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir daripada kerajaan UAE kepada ATM di Wisma Perwira ATM pada Khamis.
Antara barang-barang keperluan tersebut termasuklah 2,000 helai sejadah; 1,000 naskah Al-Quran; 2,000 helai telekung; 1,000 bakul makanan (Barang kering 10kg); 1,000 kampit beras 10kg; 1,000 set Hygiene kit; 4,000 helai cadar; 2,000 unit tilam; 4,000 helai tuala; 4,000 helai selimut dan 4,000 biji bantal.
Affendi turut menjelaskan, kesemua barang sumbangan itu akan mula diagihkan kepada anggota tentera serta keluarga mereka selewat-lewatnya hujung minggu ini terutama di Pahang dan Selangor.
“Lebih 700 anggota dan pegawai ATM serta keluarga mereka terkesan dengan bencana banjir ini serta menjadi kewajipan ATM untuk membantu mereka,
“Kami berterima kasih kepada kerajaan UAE yang begitu prihatin menyumbangkan pelbagai barangan keperluan untuk diagihkan kepada anggota serta pegawai ATM yang terkesan,” tambahnya.
Dalam masa yang sama beliau menjelaskan, organisasi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) akan turut sama membantu menyalurkan sumbangan yang diterima kepada warga tentera yang terkesan.
Turut hadir, Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Tengku Muhaini Almarhum Sultan Ahmad Shah serta panglima perkhidmatan ATM. -airtimes.my
Galeri Gambar: