THAILAND, 24 Feb – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar ibu bapa memberi sokongan kepada anak-anak mereka yang ditauliahkan sebagai Pegawai Tauliah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus terlibat aktif dalam Askar Wataniah selepas masing-masing tamat pengajian mereka di universiti-universiti awam.
Baginda selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW) berkata, kebajikan Pegawai Tauliah PALAPES ini akan lebih terjaga dan terjamin jika mereka terus terlibat aktif dalam pasukan Askar Wataniah.
“Selain itu, peruntukan kewangan yang disalurkan oleh Kerajaan sepanjang tempoh menjadi kadet selama tiga tahun tidak dipersiakan apabila masing-masing terus aktif dan menyumbang khidmat kepada negara,
“Para majikan turut akan mendapat manfaat daripada sikap graduan yang memiliki mutu disiplin dan keyakinan dalam menyampaikan serta melaksanakan sesuatu tugasan dengan aura kepimpinan yang tinggi,” titah Baginda semasa di Thailand.
Baginda dalam rangka lawatan kerja Akademik dan Strategi Ketenteraan PALAPES Universiti Awam (UA) Malaysia ke Bangkok pada 18 sehingga 20 Februari yang lalu.