KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Kerjasama politik parti pembangkang dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diperlukan bagi menjamin masa depan negara agar tidak terus terjerumus ke dalam kancah kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, beliau menyuarakan cadangan itu kerana berpendapat kepentingan negara lebih penting berbanding kepentingan parti.
Tambah beliau, rakyat kini mahu melihat semua parti politik menawarkan sesuatu yang boleh menyelamatkan negara.
“Saya ada baca Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menolak tawaran (kerjasama) PN, tak apalah kita terima pandangan dia,
“Kita melihat cadangan itu kerana kita nak menentukan supaya masa depan negara akan lebih selamat, kita tidak akan terus terjerumus dalam kancah kleptokrasi, rasuah, salah guna kuasa yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN),
“Itu bukan kebimbangan saya itu kebimbangan rakyat, sebab itu yang saya suarakan itu bukan soal kepentingan politik PN, tapi untuk kepentingan negara,
“Saya serahkan untuk pimpinan-pimpinan politik untuk memikirkan soalnya adakah kamu memikirkan tentang parti kamu atau negara? Bagi saya negara lebih penting dari politik,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN), pada Isnin.
Jelasnya, pemimpin parti-parti politik seharusnya memerlukan keberanian untuk menyatukan rakyat dan menawarkan sesuatu yang lebih baik.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Pakatan Harapan (PH) yang menolak untuk menjalinkan kerjasama dengan gabungan tersebut yang disuarakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat mahu ada usaha menyatukan parti-parti politik dalam usaha menawarkan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.
“Tidak perlu fikir siapa nak jadi Perdana Menteri… selamatkan negara dahulu,
“Itu bagi sayalah…kalau Rafizi jawab saya tidak setuju, tidak setujulah. Saya bukan tidak kenal dia, saya kenal dialah,” ujarnya.
Pada Ahad, Rafizi dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) telah memutuskan pendirian bahawa mereka tidak akan menjalinkan kerjasama dengan PN.
Katanya, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat terbaru PH pada Rabu lalu.-airtimes.my