KUALA LUMPUR, 9 Apr – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menafikan wujudnya sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak mengenai Sistem Pengambilan Pekerja Asing dan Pengurusan Sumber Manusia (SPDRM).
Justeru, dakwaan KSM memberi sokongan penuh kepada penggunaan sistem baharu itu adalah tidak benar.
“KSM berharap penjelasan ini akan menjawab sebarang persoalan atau kekeliruan dalam kalangan majikan atau industri, khususnya perwakilan diplomatik negara sumber mengenai SPDRM,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Kenyataan tersebut merujuk kepada laporan media pada Sabtu berkenaan dengan SPDRM yang dikatakan dapat menangani isu pemerdagangan orang serta mempercepatkan kemasukan pekerja asing ke negara ini.
SPDRM juga dinyatakan telah mendapat sokongan penuh KSM dan memenuhi peraturan pengambilan pekerja asing termasuk syarat yang ditetapkan di negara ini serta Negara-Negara Sumber. -airtimes.my