KUALA LUMPUR, 11 Feb – Kerajaan bersetuju menurunkan had harga siling baharu bagi produk petrol, RON95 pada RM2.05, manakala diesel pada RM2.15 seliter.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan berkata, penetapan harga siling itu adalah bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara di peringkat global.
“Penetapan had harga siling ini adalah lebih rendah berbanding had harga yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95, dan RM2.18 seliter bagi diesel,
“Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Zafrul, keputusan diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia.
Tambahnya, ia turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia.
“Trend harga minyak global juga dipengaruhi oleh pelan vaksinasi COVID-19 yang mula dilancarkan secara beransur-ansur di seluruh dunia,
“Malaysia sendiri akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannnya bermula hujung Februari 2021,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia.
“Kerajaan juga akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. –airtimes.my