KUALA LUMPUR, 5 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah membuat satu laporan polis berhubung kenyataan yang mendakwa lima pegawai Menteri dan Kementeriannya telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
KKM dalam kenyataan hari ini berkata, laporan tersebut telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Putrajaya berhubung fitnah menerusi penulisan di beberapa akaun Facebook termasuk di akaun “Teuku Shafiz Rullah”, “STEADYAKU47” dan akaun twitter “Fadzilah Mamat@fadzilahmamat”.
Menurutnya, hantaran di Facebook dan ciapan Twitter berkenaan mendakwa SPRM telah menahan dua pegawai kanan Menteri Kesihatan dan tiga pegawai kementerian.
“Posting itu antara lain mendakwa “Menteri Kesihatan juga terlibat” dalam siasatan SPRM terhadap syarikat yang memperolehi kontrak RM30 juta,” tambah kenyataan itu.
KKM menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk melakukan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook dan Twitter berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya.
“KKM melahirkan rasa kesal terhadap fitnah tersebut dan menyeru agar netizen menghentikan perkongsian fitnah berkenaan,” jelas kenyataan itu. – AirTimes