KUALA LUMPUR, 28 Nov – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menegaskan bahawa pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) diantara kerajaan Perak dan Chinalco GXNF Rare Earth Development Co. Ltd hanya tertumpu kepada proses kajian nadir bumi dan tidak melibatkan aktiviti perlombongan di negeri Perak.
KATS berkata, konteks permeteraian memorandum persefahaman tersebut masih di peringkat awal, iaitu menggunakan kepakaran dari pihak China dalam mengenal pasti potensi sumber nadir bumi di Perak,
“Khususnya jenis lempung jerapan ion (ion adsorption clay) yang tidak mengandungi thorium mahupun uranium sebagai sisa sampingan,” jelas pihak KATS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Pada masa sama, KATS berkata pihaknya akan menyokong kerjasama dengan pihak luar sekiranya jalinan tersebut memberi kesan positif dalam pembangunan ekonomi Malaysia dan tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.