KUALA LUMPUR, 28 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mempertahankan kedudukan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan dakwaan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sudah menjadi liabiliti kepada UMNO dan akan membawa kepada kekalahan parti itu.
Menerusi paparan skrin yang dikongsi di laman Twitter miliknya hari ini, Ahmad berkata, apa yang paling penting tentang kepimpinan seseorang ialah hasil perjuangan mereka.
“Dalam perjuangan yang penting adalah hasilnya. Apakah hasil perjuangan diketuai Presiden dibantu Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang ada setakat hari ini,
“Semoga pasukan yang ada ini berjaya membawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi semula Malaysia untuk manfaat rakyat dengan majoriti 2 pertiga,” ciapnya.
Ahmad turut menyenaraikan beberapa pencapaian UMNO di bawah Zahid, selaku presiden, termasuk kemenangan mereka pada 7 pilihan raya kecil, kemenangan besar pada pilihan raya mengejut Melaka dan Johor.
“Turut disenaraikan kejayaan mengambil alih Perak, rakan karib BN di Sarawak (GPS) menang 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan paling besar apabila desakan 15 Ahli Parlimen sehingga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri,” jelasnya.
Tajuddin pada sidang media khas semalam, mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan secara terhormat kerana tidak layak memimpin UMNO.
Beliau yang digugurkan daripada jawatan ahli MKT UMNO juga mendakwa, Ahmad Zahid sebenarnya mengepalai gerakan menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut mendedahkan ada gerakan pada Mei 2020 diketuai Timbalan Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatannya.
“Bukan nak tendang dia (Ahmad Zahid), tak baik. Ketuanya Tok Mad (Datuk Seri Mohamad Hasan), Bossku (Datuk Seri Najib Razak) suruh kumpulkan buat tinjauan berapa Ketua Bahagian yang setuju, 130 orang setuju (Ketua Bahagian), Perak 18, Selangor 17,” katanya.-airtimes.my