KUALA NERANG, 23 Feb – Cubaan 2 lelaki menyeludup sejumlah daun ketum ke negara jiran dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda gagal selepas terlibat kemalangan dan ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kampung Sungai Kechil, semalam.
Markas Kedua Divisyen Infantri Malaysia (2 Div) memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah hari, dimana pasukan beroperasi yang sedang membuat kawalan keselamatan di persempadanan Malaysia-Thailand telah mengesan kenderaan Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand dipercayai membawa daun ketum untuk diseludup keluar.
“Menyedari kehadiran pasukan beroperasi, kenderaan tersebut telah memecut laju menyebabkan pasukan beroperasi (kumpulan ronda bermotosikal) telah membuat pengejaran bagi menghentikan kenderaan tersebut untuk diperiksa,
“Namun begitu kenderaan terus dipandu dalam keadaan laju dan berbahaya sehingga hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di kawasan Kampung Sungai Kecil,
“Insiden tersebut telah menyebabkan kedua-dua suspek di dalam kenderaan (pemandu dan penumpang) mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk diberi rawatan,” jelas pihak 2 Div dalam kenyataan malam tadi.
Hasil siasatan mendapati kenderaan tersebut membawa kira-kira 1 tan daun ketum bernilai RM38 ribu manakala kedua-dua suspek tersebut adalah warga tempatan.
Tambah 2 Div, kes seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan susulan.
Terdahulu, terdapat beberapa video tular di media sosial memaparkan 2 lelaki dipercayai penyeludup berjaya ditahan oleh anggota tentera.-airtimes.my