SENDAYAN, 14 Mac – Pusat Ekuestrian Angkatan Tentera Malaysia (MAFEC) dengan kerjasama Happy Farms Hippotherapy Malaysia menggunakan kaedah hipoterapi iaitu rawatan terapi fizikal melalui pergerakan kuda.
Tentera Udara Malaysia Diraja (TUDM) dalam hantaran di media sosial rasminya berkata, kaedah rawatan ini adalah untuk membantu meningkatkan fungsi neurologi dan pemprosesan deria kepada anak istimewa.
Demontrasi kaedah Hipoterapi tersebut telah dipertontonkan kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam lawatan kerjanya di Pangkalan Udara Sendayan, semalam.
“Adik Muhammad Taufeek,10 tahun, anak kepada FSjn Juandey Jamain bersama kuda bernama ‘Falline Des Proyes’ telah menunjukkan demonstrasi itu,” katanya.
Objektif utama penubuhan MAFEC adalah sebagai sebuah pusat kecemerlangan yang memfokuskan latihan ekuestrian kepada komuniti perkhidmatan Seri Paduka Baginda.
Selain itu, obejktifnya juga untuk melatih anggota kurang upaya di kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam lawatan kerja tersebut, Ismail Sabri turut dipertontonkan teknik mengendali dan kebolehan anggota berinteraksi bersama kuda dalam melakukan aksi-aksi lompatan setiap halangan.
Terdahulu, Ismail Sabri telah menghadiri majlis pecah tanah pelancaran Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) untuk anggota dan veteran ATM membabitkan pembinaan 3,500 unit rumah jenis pangsapuri yang akan dibina di Kem Transmitter, Sungai Besi.
Kementerian Pertahanan telah mensasarkan sebanyak 25,000 rumah untuk anggota dan veteran ATM menjelang 2030. – airtimes.my