NEGERI SEMBILAN, 6 Nov – Seramai 473 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) peringkat Negeri Sembilan, pada Ahad.
Majlis Penganugerahan PJM tersebut telah disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Auditorium Sebatang Karah, Kem Segenting, Port Dickson.
Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi hantaran media sosialnya memaklumkan, penganugerahan PJM adalah merupakan pengiktirafan kepada veteran ATM khasnya dan anggota tentera amnya di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan serta kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas komunis.
“Selain itu, penganugerahan ini diberikan kepada anggota atau bekas anggota tentera yang telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas,
“Penganugerahan ini turut diberikan kepada mereka yang telah bertugas secara langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1990 dalam operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM), Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) serta terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang Pengganas Komunis ini,” jelas hantaran itu.
Tambah TDM, penganugerahan ini juga merupakan majlis yang kelima diadakan dalam fasa pandemik COVID-19.
“Sehingga kini terdapat 32,440 warga veteran ATM telah menerima PJM manakala bagi veteran yang layak dan belum lagi dianugerahkan akan dijadualkan penganugerahannya pada masa akan datang,” ujar TDM.
Zamrose dalam ucapannya berkata, keamanan dan keharmonian yang dinikmati oleh generasi hari ini tidak akan dapat dicapai tanpa perjuagan mereka serta perwira-perwira negara terdahulu.
“Para veteran yang masih berupaya diharap dapat mencurahkan khidmat bakti atas kapasiti masing-masing untuk terus memberi tunjuk ajar, nasihat dan pendoman kepada generasi muda,” katanya.
Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; Ketua Staf Markas Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus serta wakil Persatuan-persatuan Veteran ATM sekitar Negeri Sembilan. -airtimes.my