KUCHING, 6 Ogos – Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Penrissen dibina bagi memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 anggota, keluarga dan veteran ATM dalam urusan perkhidmatan perubatan.
Perasmian Poliklinik ATM ini telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam.
Markas ATM dalam satu hantaran media sosial rasminya berkata, poliklinik yang berkeluasan 13,643 meter persegi dibina bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Hospital Kerajaan yang sedia ada dan Pusat-Pusat Kesihatan yang terdapat dalam ATM.
“Poliklinik ATM ini juga mempunyai kemudahan perkhidmatan yang lengkap meliputi perkhidmatan Klinik Tentera, Klinik Kesihatan Keluarga, Unit Kecemasan dan Dewan Bedah,
“Wad Pesakit Dalam, Pusat Hemodialisis, Unit Rehabilitasi, Perkhidmatan Pergigian dan Perkhidmatan Kesihatan Awam turut dilengkapi dalam poliklinik tersebut,” katanya.
Tambahnya lagi, poliklinik tersebut turut disediakan Makmal Perubatan, farmasi dan pegimejan (X-ray) bagi tujuan sokongan perubatan.
Dalam pada itu, poliklinik tersebut akan menempatkan khidmat doktor pakar perubatan dan pakar pergigian termasuklah kemudahan bagi pesakit luar.
“Dengan beroperasinya poliklinik ini, warga ATM serta keluarga termasuk Veteran ATM yang berada di Kuching dan kawasan sekitar tidak lagi perlu dirujuk kepada Hospital Angkatan Tentera (HAT) atau Hospital di Semenanjung Malaysia kecuali bagi kes-kes tertentu sahaja,” katanya lagi. – airtimes.my