BUTTERWORTH, 9 Sept – Panglima Tentera Udara Tan Sri Jen Affendi Buang hari ini memberi jaminan bahawa Pangkalan Udara Butterworth akan kekal dan masih relevan.
“Saya bersama-sama Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong di sini memastikan bahawa kem ini akan kekal selagi mana ia diperlukan,” katanya ketika ditemui pada program Hari Terbuka Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Butterworth, di sini hari ini.
Affendi berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan bahawa kawasan kem itu akan dibangunkan sebagai kawasan perumahan.
Majlis sempena ulang tahun TUDM ke-60 yang bermula pada 8 pagi hingga 5 petang itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong.
Pelbagai aktiviti dan persembahan menarik disediakan untuk pengunjung, antaranya pertunjukan udara, persembahan kombo dan pancaragam TUDM, demo kebakaran Bomba TUDM serta persembahan Pasukan Khas Tentera Udara (Paskau).
Pengunjung juga dapat menyaksikan pertunjukan udara pesawat PC-7 MKII, Hawk 108/208, F/A 18D Hornet dan Sukhoi SU-30 MKM.
Sementara itu, Liew berkata program tersebut dapat memberi pendedahan kepada orang awam mengenai TUDM dengan lebih dekat. – BERNAMA