[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=43UhHhxrG_g[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 6 JUN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kenyataan Menteri Besar Kedah untuk mengembalikan Pulau Pinang kepada Negeri Jelapang Padi itu adalah sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, isu mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah tidak sepatutnya timbul selepas lebih 60 tahun negara merdeka.
“Apakah kerana nak gelojoh kuasa pilihan raya, kita korbankan prinsip perlembagaan dan timbulkan huru-hara? Ini soalnya.
“Dan ini yang menyebabkan timbul permasalahan. Kita sudah merdeka lebih enam dekad,
“Parti-parti memerintah semua ada, UMNO Barisan Nasional, PAS dan PH, dan sekarang PAS dan PN, tidak pernah dibangkitkan (isu kembalikan Pulau Pinang kepada Kedah) melainkan seorang ketua yang tidak bertanggungjawab yang sanggup melanggar prinsip Perlembagaan,
“Oleh yang demikian, saya serah sepenuhnya kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan sesuai,” kata Perdana Menteri semasa Sesi Soal Jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, pihak polis telah memulakan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Ini termasuklah di bawah Kanun Keseksaan dan juga di bawah Akta Hasutan,
“Sebahagian dari laporan telah dikemukakan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyuarakan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri itu berdasarkan kajian sejarah dan ahli akademik.
Kenyataan Sanusi telah menimbulkan kurang senang di kalangan pemimpin politik tempatan.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong membidas kenyataan Sanusi yang boleh menjejaskan keharmonian antara rakyat Kedah dan Pulau Pinang.
“Kita semua tahu bahawa pilihan raya semakin hampir untuk enam negeri, tetapi ahli politik tidak seharusnya membuat dakwaan mengelirukan untuk menyemai kekacauan dan ketidakharmonian bagi tujuan meraih sokongan.
“Sanusi mesti berhenti menggunakan naratif sedemikian serta-merta, yang merosakkan keharmonian antara Pulau Pinang dan Kedah untuk mendapatkan sokongan di Kedah bagi dirinya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 Jun lalu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengulangi peringatan beliau kepada Sanusi untuk berjumpa di mahkamah.
Sementara itu, wakil rakyat Jelutong, RSN Rayer telah membuat satu laporan polis terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah.
Dalam Pemberitahuan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengesahkan hanya satu laporan polis telah diterima berhubung isu tersebut sehingga hari ini.
“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di bawah seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia yang berasingan dari Kedah telah dijelaskan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut merupakan hasil daripada Perjanjian-Perjanjian antara Kerajaan British dan Raja-Raja Melayu untuk membentuk Persekutuan, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 21 Januari 1948 (“Perjanjian 1948”) dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 5 Ogos 1957 (“Perjanjian 1957”),
“Melalui Perjanjian 1948, persetujuan telah dicapai untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang akan terdiri daripada sembilan negeri Melayu dan dua Negeri Selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang (termasuk Seberang Perai),” kata dokumen itu.
Menurut beliau, persetujuan bahawa Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berasingan dari Kedah sekali lagi dicapai melalui Perjanjian 1957.
Perjanjian ini menjadikan Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.
“Pulau Pinang juga terhenti daripada menjadi jajahan Kerajaan British dan Kerajaan British juga telah menamatkan semua hak kedaulatan Kerajaan British ke atas Pulau Pinang,
“Perlembagaan Pulau Pinang dalam Jadual Kedua Perjanjian 1957 telah ditetapkan sebagai Perlembagaan Negeri bagi Pulau Pinang yang merupakan sebuah Negeri dalam Persekutuan tersebut,” katanya.
Menurut beliau, perkara tersebut telah merumuskan bahawa Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat dalam Malaysia.
“Kedudukannya sentiasa terjamin dan telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegas Perdana Menteri. – airtimes.my