KUALA LUMPUR, 25 Mei – Siasatan awal Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mendapati tren dipandu ke arah bertentangan menjadi punca insiden kemalangan LRT yang berlaku pada malam semalam.
Laporan ringkas kemalangan yang dikeluarkan oleh APAD pada hari ini turut menyatakan insiden tersebut berlaku akibat kecuaian pemandu.
“Tren sepatutnya bergerak ke arah selatan (Stesen Dang Wangi) tetapi dipandu ke arah utara dan menyebabkan pelanggaran berlaku,
“Kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu (Hostler) yang memandu tren terbabit dalam arah yang salah,” katanya.
Tambahnya, tren yang dipandu secara manual tersebut tidak mempunyai sebarang penumpang.
Menurut APAD, tren malang tersebut dipandu secara manual dari stesen Kampung Baru berikutan kegagalan kenderaan tersebut beroperasi secara automatik.
Semalam, seramai 213 penumpang mengalami detik cemas apabila tren dinaiki mereka telah berlanggar dengan sebuah tren yang lain dari arah bertentangan.
Kejadian yang berlaku pada 8.33 malam itu telah menyebabkan 64 orang dikejakrna ke Hospital Kuala Lumpur.
Menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia, seramai 21 orang cedera dengan 6 daripadanya kritikal. Selain daripada itu, 43 lagi menerima rawatan pesakit luar. -airtimes.my