TELUK INTAN, 26 Jun – Polis Perak telah menahan 10 suspek kes buli hingga mendatangkan kecederaan membabitkan seorang pelajar lelaki tingkatan 2 di sebuah asrama sekolah menengah di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 16 hingga 17 tahun itu direman 4 hari bermula kelmarin hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kes itu pada jam 9.40 malam, Khamis lalu selepas mangsa dibuli 10 pelajar seniornya antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 1 pagi pada hari sama.
“Seorang suspek membawa mangsa ke bilik asramanya dan kemudian memukul mangsa secara beramai-ramai serta mencederakannya menggunakan seterika panas pada badannya,
“Mangsa kemudiannya menghubungi ibunya dan mengadu sakit di bahagian pinggang sebelum ibunya membawa mangsa ke hospital,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mior Faridalathrash berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat cemburu terhadap mangsa yang berbual dengan seorang pelajar perempuan yang juga teman wanita kepada seorang daripada suspek.
“Semua suspek ditahan pada jam 11.20 malam hari sama dan direman bagi membantu siasatan. Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan berada dalam keadaan stabil,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kegusaran dan kekeliruan masyarakat.
“Ia juga dibimbangi akan mengganggu siasatan polis. Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak menularkan maklumat tidak sahih dan disaran membuat laporan dan aduan di balai polis berhampiran,” tegasnya. -airtimes.my