[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=9xCn8isJeNU[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 13 SEPT – Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor (Bersara) menegaskan kerajaan perlu menumpukan aspek kebajikan anggota tentera seperti cuti dan elaun.
Menurut beliau, ia merupakan pengukuhan aspek moral yang amat diperlukan oleh anggota tentera.
“Pada pandangan saya, perlu melihat kepada aspek-aspek kebajikan yang lain seperti gaji, elaun, cuti dan juga kemudahan asas kepada anggota angkatan tentera,
“Bagi anggota tentera, mereka tidak ada istilah overtime (kerja lebih masa) dan cuti,” katanya menyampaikan bahas Kajian Separuh Penggal RMK ke-12 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut beliau, cuti hanyalah privilege (keistimewaan) yang diberikan kepada anggota tentera. Pun begitu, mereka akan dikerahkan untuk memikul amanah dan tanggungjawab demi negara pada bila-bila masa.
“Hanya mereka boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk melaksanakan tugas, tidak seperti jabatan-jabatan kerajaan yang lain,” ujar beliau.
Khlir yang merupakan bekas Asisten Ketua Staf Perisikan turut menyatakan aspek kebajikan adalah penting dalam memberikan semangat kepada anggota tentera pada setiap masa.
“Perlu diingat bahawa kebajikan anggota (Angkatan Tentera Malaysia) merupakan elemen penting bagi menaikkan moral mereka,
“Dalam sesuatu peperangan, elemen moral ini merupakan salah satu prinsip yang diambil kira,” katanya.
Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Ketereh menegaskan hasrat kerajaan untuk membina sejumlah Rumah Keluarga Angkatan Tentera dan poliklinik adalah tidak mencukupi.
“Dalam hal ini saya difahamkan kerajaan telah membina 1,081 unit rumah keluarga ATM dan 1 poliklinik,
“Saya merasakan ianya tidak cukup untuk meningkatkan kebajikan anggota ATM,” katanya. – airtimes.my