PETALING JAYA, 17 Okt – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membidas kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa Selangor merosot selepas beliau meninggalkan negeri itu.
Menurut Amirudin, sejak Mohamed Azmin meninggalkan Selangor, prestasi ekonomi negeri itu meningkat lebih baik.
“Sejak beliau meninggalkan Selangor, prestasi ekonomi Selangor meningkat baik, sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada Malaysia meningkat dan program kebajikan kepada rakyat juga bertambah,
“Selangor makmur bukan hasil kejayaan seorang individu sahaja tetapi usaha berpasukan,” tulis Amirudin di Twitter yang turut menggunakan tanda pagar #janganperasan #jangansyoksendiri.
Amirudin turut berkongsi graf sumbangan KDNK Selangor yang meningkat berperingkat-peringkat kepada 24.8 peratus pada 2021 berbanding 23.2 peratus ketika Mohamed Azmin menjadi menteri besar pada tahun 2017.
Sumbangan Selangor bagi sektor pembuatan yang merekodkan 32 % daripada KDNK pada 2021 juga tertinggi dalam kalangan negeri lain.
Terdahulu, media melaporkan Azmin mendakwa prestasi Selangor merosot selepas beliau meninggalkan pejabat menteri besar pada 2018.
“Lepas saya tinggal (jawatan Menteri Besar) nampak merosot prestasi (Selangor).
“Jadi tanggungjawab saya mahu mengekalkan kecemerlangan Selangor supaya Selangor akan terus membangunkan memberi manfaat semua rakyat Selangor dan kita dapat menjalin satu kerjasama baik dengan kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya. -airtimes.my