BATAM, 20 SEPT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui KD Terengganu bersama Angkatan Tentera dari negara-negara ASEAN terlibat dalam Eksesais Asean Solidarity in Natuna (ASEX-01 N) 2023.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan, eksesais yang berlangsung mulai 18 hingga 25 September ini dilaksanakan di Batam, Perairan Natuna dan Sabang Mawang, Indonesia.
Latihan ini turut melibatkan Angkatan Tentera dari negara-negara ASEAN iaitu Singapura dengan penglibatan Republic of Singapore Ship (RSS) Vigour dan Brunei dengan kehadiran Kapal Diraja Brunei (KDB) Darul Ehsan.
Manakala negara seperti Cambodia, Laos, Myanmar, Philippines, Thailand dan Vietnam adalah bertindak sebagai Pemerhati.
Majlis perasmian telah disempurnakan Panglima Tentara Nasional Indonesia, Laksamana Yudo Margono yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman pada Selasa.
“Eksesais selama 8 hari ini merupakan peluang kepada ATM terutama pegawai dan anggota KD Terengganu dalam memperkasakan aspek latihan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (Humanitarian Assistance and Disaster Relief, HADR),
“Termasuk Kerjasama Awam dan Tentera (Civil Military Co-Operation, CIMIC), Operasi Mencari dan Menyelamat (Search and Rescue, SAR) dan Keselamatan Maritim (Maritime Security, MARSEC), yang merupakan konsep utama pelaksanaan eksesais ini,” jelas ATM menerusi hantaran di media sosialnya.
Pada masa yang sama, pelaksanaan eksesais ini juga turut dapat meningkatkan hubungan ketenteraan antara negara-negara ASEAN di samping menggalakkan penglibatan dan kesepaduan di antara satu sama lain sesuai dengan objektif yang digariskan.
“Objektif lain pelaksanaan eksesais ini antara lainnya adalah untuk mempraktiskan Prosedur Operasi Standard (SOP) antara Angkatan Tentera Negara-negara ASEAN, membina kerjasama dan kebolehoperasian dalam bidang Keselamatan Maritim (MARSEC) dan pengurusan bencana,” jelas hantaran itu lagi. -airtimes.my