KOTA KINABALU, 27 Jan – Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah berjaya menyelamatkan seorang nelayan tempatan yang dikhuatiri hilang setelah bot dinaikinya terbalik di Muara Pantai Dalit, Tuaran pada Khamis.
Markas Pemerintahan Armada (MPA) Timur menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, 5 buah kapal TLDM dan aset Pasukan Polis Marin (PPM) telah diaturgerakkan bagi melaksanakan pencarian nelayan tersebut.
“5 buah kapal TDLM iaitu KD SUNDANG, KD RENCONG, KD SERANG, KD GANAS, KD JERONG bersama BOT PENGAWAL 39 telah diaturgerakkan bersama UAS Scaneagle M601-7 yang dioperasikan Skuadron 601 sebagai aset sokongan dalam misi tersebut,
“Dron ini telah diterbangkan bagi pemantauan daripada udara bagi membantu mengesan lokasi mangsa yang hilang,” jelas MPA Timur.
Menurut MPA Timur, maklumat awal yang diterima daripada MRSC Kota Kinabalu memberitahu bot pancing yang dinaiki mangsa dan 2 rakannya dipercayai telah terbalik di Muara Pantai Dalit, Tuaran pada Rabu.
“Kedua mangsa yang selamat telah berenang ke pesisir pantai bagi mendapatkan bantuan. Jaket keselamatan yang sempat disarung telah berjaya membantu kedua mangsa menyelamatkan diri,
“Sementara itu, seorang lagi mangsa berusia 60 tahun disahkan tidak memakai jaket keselamatan dan hilang daripada lokasi bot terbalik,” tambah hantaran itu.
Pihak MPA Timur menjelaskan, operasi mencari dan menyelamat mangsa pada hari kedua diketuai oleh KD Sundang telah berjaya menemukan mangsa sekitar jam 1 tengahari di lokasi 5 batu nautika (bn) Barat Tanjung Gaya.
“Mangsa ditemui berpaut kepada tong minyak berwarna putih bagi membantunya mengapungkan diri,
“Ketika ditemui, mangsa begitu lemah dan tidak berdaya. Seterusnya, KD Sundang telah menurunkan bot bagi mengangkat mangsa dan diberi pemeriksaan kesihatan awal sebelum dibawa pulang ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu,” ujar pihak MP Timur.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan selanjutnya. -airtimes.my