SANDAKAN, 30 Julai – Malaysia diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Lawatan Pelabuhan Rondaan Maritim Trilateral (TMP) membabitkan Malaysia, Indonesia dan Filipina di Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) di sini selama tiga hari bermula semalam.
Timbalan Komander Mawilla 2 Kapten Azeman Yusoff berkata program di bawah Inisiatif Peraturan Kerjasama Trilateral (TCA) diharapkan dapat meningkatkan persahabatan dan kerjasama antara tentera laut ketiga-tiga negara itu.
“Kami berharap program ini akan meningkatkan kerjasama (Malaysia, Indonesia dan Filipina) dalam menjaga dan mempertahankan perairan kita sepanjang masa.
“Kami tidak tahu bila insiden yang tidak diingini berlaku. Oleh itu, kami (Malaysia, Indonesia dan Filipina) sentiasa memastikan kesiapsiagaan dalam semua aspek dan bekerjasama dalam menangani ancaman sebagai satu pasukan, ” katanya kepada pemberita selepas menyambut kapal-kapal tentera laut dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) dan Tentera Laut Filipina di sini.
Azeman berkata Lawatan Pelabuhan TMP telah membawa banyak manfaat kepada anggota tentera laut ketiga-tiga negara sejak TMP dilancarkan pada 2017.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kawalan Maritim, Kapten Pulendren Paramasivam berkata kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina telah membuahkan hasil, terutama dalam perkongsian maklumat dan menjalankan rondaan laut yang diselaraskan, yang menghalang penjenayah daripada menjalankan aktiviti di laut.
Kira-kira 200 pegawai dan anggota tentera laut dari tiga negara terlibat dalam Lawatan Pelabuhan TMP.
Tiga kapal tentera laut yang terlibat dalam eksasais selama tiga hari itu ialah KD Pari Malaysia yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Lt Komander Mohd Ridzuan Samsudin, KRI Hui Indonesia yang diketuai oleh Lt Kol Ahmad Ahsan dan Kapal Tentera Laut Filipina, BRP General Mariano Alvarez Filipina di bawah pimpina Panglima Raymond F Umbac. – Bernama