KUALA LUMPUR, 22 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi KD LEKIR melancarkan tembakan Misil EXOCET MM40 di perairan Selat Melaka Utara, hari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tembakan tersebut telah tepat mengenai sasaran yang berada di jarak 20 batu nautika atau 36 kilometer.
“Hari ini saya menyaksikan pelaksanaan Eksesais TAMING SARI Siri 21 tahun 2022 yang juga merupakan eksesais penembakan misil yang dikendalikan oleh TLDM,
“Selain itu, ia juga kemuncak kepada Operational Sea Training Exercise West (OSTEX WEST) 1/22 yang telah dilaksanakan mulai 16 hingga 20 Mei 2022 melibatkan aset-aset Armada TLDM,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Menurutnya, Eksesais TAMING SARI ini telah melibatkan 1,250 warga TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Kejayaan penembakan ini turut membuktikan bahawa ATM sentiasa menyelenggara baik peralatan serta senjata sedia ada, termasuklah sistem misil milik TLDM ini, walaupun ia sudah menghampiri penghujung hayatnya,
“Kesiagaan sistem misil TLDM akan sentiasa berada pada tahap tertinggi dengan penerimaan sistem misil yang baharu sebaik sistem yang sedia ada ini menjadi usang dalam tempoh 2 tahun ini,” ujarnya. – airtimes.my