LUMUT 4 JAN – Markas Pemerintahan Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyaksikan pertukaran tampuk pemerintahan kapal-kapal dalam angkatan tersebut sekali gus peralihan baharu.
Pertukaran pemerintahan merupakan satu kelaziman, apatah lagi dalam sesebuah angkatan seperti TLDM agar sentiasa relevan dengan kehendak perkhidmatan.
Kali ini pertukaran pemerintahan melibatkan lima buah kapal dalam Markas Pemerintahan Armada Barat.
Mendahului ialah pertukaran pemerintahan KD Teguh Samudera antara Kdr Mohd Khairul Jamal kepada Kdr Fariz Hedry Ling Firdaus Hedry Ling.
Mohd Khairul turut menyerahkan tugas sebagai Pegawai Kanan Skuadron Kapal Latihan Ke-27 kepada Pegawai Memerintah KD Gagah Samudera, Kdr Mohamad Khairul Abdul Hamid.
Frigat KD Jebat juga bertukar pemerintahan apabila Kdr Emmry Shahril Mokhtar menyerahkan tugas kepada Kdr Syahrum Hassim.
Kedua-dua pegawai kanan ini iaitu Mohd Khairul dan Emmry Shahril akan menghadiri Kursus Sarjana Pengajian Pertahanan di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Puspahanas.
KD Kinabalu juga bertukar apabila Lt Kdr Mohd Shahrir Mat Gani menyerahkan tugas pegawai memerintah kepada Lt Kdr Norasrul Wizal Asnawi.
Beliau akan menghadiri Kursus Pemerintahan dan Staf di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT).
Dua kapal lagi yang bertukar pemerintahan ialah KD Ledang dan KTD Penyu.
Lt Kdr Norasrul Wizal yang mengambil alih tampuk pemerintahan KD Kinabalu menyerahkan tugas beliau kepada Lt Kdr Mohamad Sidiq Mohamad Arif menerajui KD Ledang.
Manakala pertukaran di KTD Penyu antara Lt Kdr Ahmad Ridzwan Mohd Noordin dengan pegawai memerintah baharu, Lt Kdr Aizad Ali.
Beliau akan menghadiri Kursus Pemerintahan dan Staf di MTAT.
Pada masa sama, majlis turut meraikan Asisten Ketua Staf Operasi, Kept Saharuddin Bongsu yang dilantik sebagai Pegawai Memerintah KD Sultan Ismail.
Terdahulu, majlis serah terima tugas ini telah disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Ts Shamsuddin Ludin.
Turut hadir Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Laksamana Muda Dato’ Anuar Mohamed.
Majlis didahului dengan upacara menandatangani sijil serah terima tugas, upacara penurunan dan pemakaian insignia pemerintah serta penyerahan simbolik pemerintahan. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TLDM #MPABarat