KUALA LUMPUR, 15 Mac – Menyamakan Agama Islam dengan agama lain merupakan tindakan pluralisma dan liberalisma yang melampau.
Aktivitis politik, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata demikian bagi merujuk isu membabitkan program Jom Ziarah gereja yang dianjurkan oleh Impact Malaysia iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Beliau menjelaskan, sebarang usaha mempromosi agama lain kepada orang Islam ialah kesalahan jenayah berdasarkan Artikel 11 Perlembagaan dan diperkukuh dengan pelbagai undang undang di peringkat persekutuan dan negeri.
Chegu Bard berkata, lebih malang lagi kerja jenayah itu ditanggung dengan wang dana rakyat.
Tegasnya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh cuba memutar belit mengenai isu berkenaan.
“Kamu (Hannah) tak perlu belit belit, jika program kamu tidak salah kenapa arahkan agensi tersebut padam posting poster berbahasa Melayu yang mengajak pemuda bukan Kristian ke gereja selepas saya dan kawan-kawan dedahkan?,
“Kamu sebut mengenai agensi bawah kamu juga buat program bawa belia ke masjid. Bawa belia ke Masjid tidak halalkan tindakan program rekrut belia khususnya Islam ke gereja,
“Menyamakan Agama Islam dengan agama lain merupakan tindakan pluralisma dan liberalisma yang melampaum,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Tegasnya, pemimpin Islam ke rumah ibadat agama lain dengan tidak mengikuti acara keagamaan ialah harus kerana mereka adalah seorang pemimpin dan perlu melihat masalah serta memahami semua rakyat bawah pimpinannya.
“Ini tidak boleh disamakan dengan kegiatan rekrut remaja Islam bawa ke gereja untuk mendengar dakyah bahawa semua agama sama,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain itu banyak lagi isu yang perlu ditangani KBS, dari membazir wang rakyat membawa anak muda khususnya Islam ke gereja.
“Adalah lebih baik jutaan wang itu digunakan untuk bantu belia berniaga, bantu pelajar susah, bantu pembangunan sukan atau kebajikan sama ada atlet atau belas atlet,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Badrul Hisham berkata, sehingga kini beliau masih belum dihubungi pihak polis berhubung isu yang dibangkitkannya itu dan beliau sedia dipanggil serta akan membuat laporan balas ke atas Hannah.
Terdahulu Hannah dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa kementeriannya di Dewan Rakyat semalam, memaklumkan program Jom Ziarah yang membabitkan kunjungan ke gereja oleh Impact Malaysia tidak melibatkan belia Islam.
Jelasnya, dakwaan program itu turut melibatkan belia Islam adalah tidak benar.
Ahli Parlimen Segambut itu menambah, beliau sememangnya memahami Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf agama Islam sebagai agama Persekutuan. -airtimes.my