PUTRAJAYA, 1 Dis – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini menasihatkan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah diaktifkan serta ditingkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.
“Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) memastikan segala aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut NADMA dalam satu kenyataan.
NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.
“NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat berkenaan bencana dan bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80635420 dan alamat e-mel [email protected]; ” menurut kenyataan itu lagi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan amaran hujan sangat lebat dengan amaran cuaca bahaya peringkat merah dijangka berlaku berterusan sehingga Isnin (2 Disember) di beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu.
Amaran cuaca bahaya peringkat merah bermaksud dijangka mencapai tahap hujan lebat berterusan dengan jumlah hujan melebihi 240 mm/hari.
Hujan sangat lebat dijangka melanda Kelantan di daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh manakala dua daerah iaitu Besut dan Setiu di Terengganu.
Manakala, hujan lebat berterusan dijangka berlaku sehingga Isnin dengan amaran cuaca buruk peringkat jingga di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Menurut NADMA amaran cuaca buruk peringkat jingga bermaksud dijangka mencapai tahap hujan berterusan.
Menurutnya hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Kelantan di daerah Jeli dan Kuala Krai; Terengganu di derah Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman serta daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.
Dalam pada itu, NADMA berkata hujan lebat dijangka berlaku sehingga Isnin (2 Dis) dengan amaran cuaca waspada peringkat kuning dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Kelantan, Pahang dan Johor.
Amaran cuaca waspada peringkat kuning merupakan hujan berterusan dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari lagi atau hujan berterusan sedang berlaku tetapi belum mencapai tahap hujan lebat berterusan.
Hujan lebat dijangka akan berlaku di Gua Musang, Kelantan; Jerantut, Pahang dan Mersing dan Kota Tinggi, Johor.
Disamping itu, NADMA berkata angin kencang 40 – 50 km/jam dengan ombak mencapai 3.5 meter juga dijangka boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dalam tempoh tersebut.
Selain daripada itu juga, Jabatan Pengairan dan Saliran pada hari ini turut mengeluarkan hebahan mengenai ramalan aras air di Kelantan dan Terengganu.
Menurutnya aras air Sungai Golok, Kelantan iaitu di stesen Sungai Golok di Rantau Panjang di ramalkan melebihi aras bahaya sebanyak 0.43 m pada 11 pagi hari ini dengan trend menurun.
Manakala trend menaik berlaku Terengganu dengan aras air di Sungai Terengganu di stesen Sungai Nerus di Kampung Langkap diramalkan melepasi aras bahaya sebanyak 0.65 m pada 1 petang ini manakala aras air Sungai Setiu di Stesen Jambatan Permaisuri diramalkan melepasi aras bahaya sebanyak 0.18m pada 1 petang ini, katanya. – Bernama