KUALA LUMPUR, 28 Feb – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memaklumkan, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah hilang hak untuk memberi sebarang komen berkenaan isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Barisan Pesuruhjaya EAIC sebulat suara mendapati Abdul Hamid semasa rakaman percakapannya tidak memberikan sebarang bukti yang dapat menyokong dakwaanya bahawa wujud kartel dalam PDRM.
“Beliau tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu kartel dan Hamid mengakui Ketua Polis Negara (KPN) tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana-mana mesyuarat melibatkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Barisan Pesuruhjaya EAIC terdiri daripada Pengerusinya, Tan Sri Sidek Hassan; Timbalan Pengerusi, Tan Sri Datuk Zainun Ali dan Pesuruhjaya EAIC adalah Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk John Louis O’hara dan Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.
Menurut kenyataan itu, barisan Pesuruhjaya EIAC mendapati, Abdul Hamid selaku KPN tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020.
“Abdul Hamid mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media,
“Beliau selaku KPN sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci serta tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media,
“Sebaliknya beliau tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan,
“Beliau selaku KPN tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” ujarnya.
EIAC berkata demikian, bagi menjawap dakwaan Abdul Hamid yang menyatakan dapatan EAIC mengenai isu kartel ini ‘cetek dan tidak betul’.
Tambahnya, terdapat saksi dalam siasatan EAIC yang menyatakan kenyataan Abdul Hamid mengenai isu kartel ini dibuat pada saat akhir sebelum kontrak beliau sebagai KPN tamat pada Mei 2021 dan menimbulkan persoalan terhadap motif serta tujuan pendedahan tersebut.
Selain itu, EAIC ingin menegaskan bahawa Abdul Hamid enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini. – airtimes.my