MUAR, 15 Sept – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengalu-alukan hasrat beberapa pemimpin UMNO yang mahu membantu kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson.
Namun, ujar Syed Saddiq, adalah lebih baik sekiranya pemimpin-pemimpin tersebut menyertai mana-mana parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).
“Baguslah…kalau boleh, sertai PH terus. Seperti kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, tak payah kempen tapi lebih baik sertai PH dan mereka boleh pilih mana-mana parti komponen.
“Bagi saya, (kerjasama itu) UMNO hanya cuba mahu pecah-belah PH tetapi saya rasa sedikit demi sedikit mereka yang akan berpecah-belah,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Merdeka 2018 di Tanjung Ketapang, Muar, pagi tadi.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dilaporkan menyatakan hasrat untuk berkempen bagi pihak Anwar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.