PUTRAJAYA, 4 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pamer aset ketenteraan bersempena Hari Terbuka Putrajaya dan Karnival Putrajaya 2019 selama 3 hari mulai hari ini.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, penglibatan ATM dalam pameran ini agak unik kerana mereka merupakan salah satu dari agensi yang berpusat di luar Putrajaya selain Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) serta Kementerian Kerja Raya (KKR).
“ATM akan mempamerkan kekuatan tentera kita dengan memperagakan aset-aset pertahanan canggih dan tim taktikal mereka,” kata Dr Aminuddin ketika ditemui oleh Air Times di tapak pameran.
Beliau turut menyeru orang ramai agar dapat memeriahkan lagi karnival Putrajaya berlangsung 4 sehingga 6 Oktober 2019 di Dataran Putrajaya, Presint 3. Pameran dibuka mulai pukul 9 pagi sehingga 6 petang.
Pelbagai tarikan yang disediakan oleh pihak ATM bersempena pameran ini. Antaranya pameran kerjaya Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); pameran kerjaya Askar Wataniah, perkampungan ikhtiar hidup, Pasukan Atur Cepat (Briged Para); persembahan Istiadat Ketenteraan; Batalion Infantri, Sistem Pemerintahan dan Kawalan ATM, Pertunjukan Kawad Senyap TLDM; Aset Perkhidmatan Kesihatan, Geospatial; pameran sejarah Tentera Darat dan Muzium TUDM.
Pameran bersempena Hari Terbuka Putrajaya dan Karnival Putrajaya 2019 berlangsung mulai hari ini sehingga 6 Oktober.