KUALA LUMPUR, 6 Okt – Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memberi jaminan bahawa laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkenaan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dibahas di Parlimen.
Beliau berkata, PAC telah memberi komitmen untuk memantau perkembangan projek pembinaan LCS itu dan akan menyediakan laporan berkaitan perkara berkenaan untuk dibentang di Parlimen.
Menurutnya, beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Limbungan Boustead Naval Shipyard, Markas TLDM di Lumut, Perak, semalam.
“Hari ini saya membuat lawatan kerja ke Limbungan Boustead Naval Shipyard, di Lumut. Saya diiringi oleh Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Naib Pengerusi PAC Wong Shu Qi serta ahli lain jawatankuasa itu.
“Saya diberi taklimat perkembangan pembinaan Kapal Tempur Pesisir oleh Pengarah Pasukan Projek LCS TLDM Franklin Jeyasekhar Joseph dan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Kapten (B) Ir. Azhar Jumaat,” katanya dalam hantaran di media sosial X (Twitter).
Pada 21 Sept lalu, Mas Ermieyati berkata, laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua-LCS adalah antara 4 laporan yang akan dibentang pada Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat yang dijadual bersidang bermula 9 Okt ini.
Jelasnya laporan itu adalah bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023. -airtimes.my