KUALA LUMPUR, 16 Dis – Kapal Misi Pesisir (LMS) keempat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah selesai menjalani fasa pembinaan dan selamat diturunkan ke air di Limbungan Wuchang Shipbuilding Industry Group Ltd (WSIG), Wuhan, China, hari ini.
TLDM dalam satu kenyataan berkata, kapal LMS ini seterusnya menjalani Fasa Ujian Penerimaan di pelabuhan.
Walau bagaimanapun, susulan penularan wabak COVID-19, upacara rasmi Penamaan LMS keempat ini telah ditangguhkan dan akan dilaksanakan serentak dengan Upacara Penyerahan Fizikal kapal yang dijadual dilaksanakan pada November 2021.
Menurut TLDM, kapal tersebut bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11 bersama KD KERIS (LMS Pertama), SUNDANG (LMS Kedua) dan LMS Ketiga.
“Perolehan kapal-kapal LMS ini dilaksanakan di bawah Kontrak Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) yang telah dimeterai pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama pihak China Shipbuilding &
Offshore International Co Ltd (CSOC), China,
“LMS merupakan salah satu daripada 5 kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5. LMS berkemampuan melaksanakan tugas rondaan, pengawasan maritim, Search and Rescue (SAR) di samping menguatkuasakan undang-undang maritim Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, LMS keempat ini juga bakal menjalani beberapa siri Ujian Penerimaan di pelabuhan dan seterusnya Ujian Penerimaan di Laut sebelum diserahkan kepada TLDM pada November 2021.
Bakal Warga Kapal (BWK) LMS keempat dijangka akan diaturgerak ke China bagi menjalani latihan penyesuaian pada awal April 2021 di China. – airtimes.my