Persoalan sama ada perolehan Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) Batch 2 (LMSB2) diteruskan akhirnya telah terjawab selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan untuk melaksanakan pelan tersebut semasa pembentangan Belanjawan 2023.
Walaupun teka-teki sama ada perolehan LMSB2 sudah pun terjawab. Persoalan seterusnya tentang spesifikasi dan juga beberapa buah kapal yang akan diperolehi.
Sebelum ini, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan memohon sebanyak 3 buah LMSB2 kepada kerajaan bagi mengisi jurang keupayaan kombatan armada angkatan laut itu. Isu jurang keupayaan kombatan sudah pasti semakin jelas berikutan kelewatan perolehan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS).
LMS, seperti yang diketahui merupakan sebahagian daripada komponen Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM.
Persoalan bilangan kapal yang akan diperolehi mungkin terjawab pada suatu hari nanti. Namun, apa yang jelas adalah perolehan LMSB2 tetap teruskan.
Menyentuh spesifikasi, LMSB2 digariskan untuk mempunyai keupayaan kombatan berbanding 4 buah LMS yang diperolehi daripada China. Isu perolehan LMS sebenarnya telah dibangkitkan dalam beberapa hari Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung semenjak 14 Februari lalu.
Semasa Penggulungan Titah Diraja, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan telah pun memberikan sedikit bayangan tentang spesifikasi LMSB2.
“LMS Batch 2 ini ia tidak sama dengan LMS yang sedia ada. LMS sedia ada ini ia punya combatant ability itu tidak ada. Kita telah pun membuat permohonan kepada kerajaan baru-baru ini,” kata Menteri Pertahanan pada 22 Februari lalu seperti yang direkodkan oleh Hansard Parlimen.
Menurut beliau, LMSB2 mempunyai keupayaan peperangan 2 dimensi.
Jelas Tok Mat, kapal-kapal ini mempunyai “daya upaya combatant yang lebih canggih iaitu mempunyai keupayaan surface to surface missile dan juga surface to air missile tetapi tidak ada torpedo atau yang lain”.
Menyentuh cara perolehan, Tok Mat menjelaskan LMS akan diperolehi secara terus dengan kerajaan luar iaitu secara Govenment-to-Government (G2G).
“Kita sedang merunding G2G dengan negara yang mempunyai kepakaran yang membuat ia punya templat dan ia punya platform sendiri,
“Oleh sebab, mengambil kira keperluan kita yang begitu mendesak, kita tidak mampu untuk kita buat seperti konsep LCS ini,
“Jadi kita buat terus daripada negara yang boleh mengeluarkan model mereka sendiri, design mereka sendiri dan itu akan mempercepatkan proses perolehan ini dan mengurangkan risiko jika terdapatnya kelewatan dalam pembinaannya jika kita buat di limbungan-limbungan kapal yang bukan mempunyai design mereka sendiri,” katanya.
Penerangan Menteri Pertahanan di Parlimen sekaligus menyingkap sedikit perolehan LMSB2 yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
Namun begitu, perjalanan masih jauh untuk LMSB2 direalisasikan kerana Belanjawan 2023 yang dibentangkan baru-baru ini akan dibahaskan di Parlimen terlebih dahulu sebelum ia diluluskan.
Malah, kita juga perlu menunggu hasil daripada Mesyuarat Kabinet yang mungkin akan menentukan hala tuju LCS dan LMSB2.
Sementara itu, TLDM perlu bertahan dengan aset sedia ada sambil menanti kedua-dua aset ini siap dilaksanakan. – airtimes.my