KUALA LUMPUR, 19 Mei – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bercadang mengadakan prosiding baharu berhubung kemajuan pembinaan Kapal Littoral Combatant Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijadualkan bermula Isnin ini.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin memaklumkan, cadangan prosiding berkenaan akan dimulakan sebaik Dewan Rakyat meluluskan pelantikan Ahli-ahli PAC pada Mesyuarat Kedua sidang Dewan Rakyat.
Selain itu, beliau berkata, prosiding baharu bagi perkembangan kemajuan pembinaan LCS itu akan menjadi agenda pertama Mesyuarat PAC bagi penggal Parlimen Ke-15.
Menurutnya, beliau mengambil maklum bahawa PAC Parlimen penggal ke-14 sudah membentangkan Laporan Perolehan Kapal LCS pada 4 Ogos tahun lalu dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan sudah membentangkan maklum balas kepada PAC Parlimen terhadap tujuh syor PAC Parlimen penggal ke-14 pada 5 Oktober lepas.
Jelasnya, syor ketujuh dalam laporan PAC berkenaan menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) perlu membentangkan laporan kemajuan pembinaan Kapal LCS setiap 3 bulan kepada PAC.
“Sehubungan itu, saya akan mencadangkan kepada PAC bahawa setiap 3 bulan apabila laporan kemajuan dibentangkan kepada jawatankuasa ini, PAC akan mengeluarkan satu laporan baharu untuk dibentangkan kepada Parlimen,
“Namun bagi prosiding pertama (ini) akan dikenali sebagai Prosiding PAC berhubung Kemajuan Pembinaan Kapal LCS Dalam Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mas Ermieyati berkata, PAC dijangka mengadakan prosiding pertama ini di Limbungan Kapal Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) iaitu syarikat pembinaan kapal LCS dan seterusnya mengadakan lawatan kerja bagi melihat sendiri kemajuan pembinaan kapal LCS.
Tambahnya, beliau dan Naib Pengerusi PAC Wong Shu Qi juga sudah mengadakan kunjungan hormat kepada semua 7 wakil tetap atau Ex Officio PAC iaitu Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Ekonomi dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia.
“Semua Ex Officio PAC yang ditemui bersetuju untuk terus menjalinkan kerjasama erat dengan PAC dalam memastikan ketelusan dan kredibiliti jawatankuasa ini terus diperkukuhkan,
“Saya turut memberikan penjelasan kepada semua Ex Officio PAC terhadap beberapa penambahbaikan yang akan dilakukan dalam PAC Parlimen penggal ke-15 terutama membabitkan Laporan Tindakan Susulan Pegawai Pengawal/Ketua Setiausaha Terhadap Syor Laporan PAC,
“Selain itum saya juga mengadakan pertemuan dengan Yang Berhormat Datuk Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada Selasa lalu bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai hala tuju PAC serta penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh Jawatakuasa ini,” tambahnya lagi. -airtimes.my