KUALA LUMPUR, 20 Mei – Kerajaan hari ini memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Peregerakan Diperketatkan (PKPD) di 17 mukim dalam daerah Besut, Terengganu berkuatkuasa 22 Mei sehingga 4 Jun 2021.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes COVID-19 di negeri tersebut meningkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti.
“Kesemua 15 mukim yang terlibat ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Beliau turut menjelaskan PKPD di Rumah Banjir Kuala Teh, Jerantut, Pahang pada tarikh yang sama.
“Turut dikenakan PKPD ialah Kampung Terusan, Mukim Limbat, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan selepas pengesahan dari KKM yang mendapati berlaku peningkatan kes positif,
“Kepulauan Tumpat, Mukim Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan turut dikenakan PKPD hasil pengesanan 22 kes positif di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Selain itu Ismail Sabri berkata, 4 lagi mukim di Perak turut dikenakan PKPD bermula 22 Mei hingga 4 Jun depan, ekoran peningkatan kes di lokaliti berkenaan.
“4 mukim tersebut ialah di Daerah Hulu Perak (Mukim Pengkalan Hulu); Daerah Larut, Matang dan Selama (Mukim Taiping), Daerah Kinta (Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan) serta Daerah Muallim (Mukim Hulu Bernam Timur),
Sementara itu di Sabah dan Sarawak, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Idani, Semporna; Kampung Pisang, Tawau; Kampung Getah, Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Jaya, Kunak, Sabah serta Kampung Boyan, Kuching.
“Manakala, 7 lokaliti PKPD di Sempalit, Raub, Pahang yang dijadualkan tamat pada 21 Mei 2021 dilanjutkan bermula 22 Mei sehingga 4 Jun depan.
“Pelanjutan PKPD turut dilaksanakan di 16 lokaliti di Sungai Ruan, Raub, Pahang pada tarikh yang sama,
“Selain itu, PKPD di Sekolah Menengah Ugama Pantai Manis, Papar, Sabah yang dijadualkan tamat pada 20 Mei pula dilanjutkan hingga 3 Jun 2021,” tambahnya.
Ismail Sabri turut menjelaskan PKPD di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor akan ditamat mengikut jadual yang telah dijadualkan. –airtimes.my