TUARAN, 15 Jul – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan Projek Jiwa Murni (PJM) dengan membina rumah baharu bagi salah seorang penduduk di Kampung Kindu, Tuaran.
Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) berkata, PJM ini telah dilaksanakan dalam tempoh 43 hari yang bermula 27 Mei lalu dan siap sepenuhnya pada 9 Julai 2021.
“Seramai 20 anggota daripada Skuadron Kelima Rejimen Askar Jurutera Diraja (5 Skn RAJD) terlibat dalam projek tersebut,
“Kos pembinaan rumah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bernilai sebanyak RM 50,000.00,”katanya dalam hantaran di media sosial milik 5 Div, hari ini.
Majlis penyerahan rumah baru ini telah disempurnakan oleh Panglima 5 Div, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid dan Pengarah YADIM Sabah, Uztaz Muhammad Akmal Othman.
Mohd Halim telah menyerahkan replika kunci rumah kepada Samir Cosmas dan meletakkan plat kerjasama antara 5 Div bersama YADIM sebagai simbolik kepada perasmian serta penyerahan rumah tersebut.
Samir Cosmas merupakan golongan asnaf yang hanya melakukan kerja- kerja kampung seperti mengutip madu kelulut dan mengambil upah membersihkan kawasan bagi menampung keperluan harian keluarga.
Menurutnya, penglibatan warga TDM dalam menyiapkan rumah beliau memberikan sinar dan harapan kepada beliau dan sekeluarga.
“Program yang dilaksanakan ini juga merupakan salah satu elemen penting dalam meningkatkan hubungan antara tentera dengan rakyat,” jelasnya. -airtimes.my