[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=I-4-SZmcn68[/embedyt]
BERA, 9 Mac – Kehilangan sebelah kaki tidak sesekali mematahkan semangat Sarjan Mohd Azalan Mohd Zain untuk terus bangkit bertugas sebagai anggota tentera di 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Kem Batu Kentomen, Kuala Lumpur.
Setahun yang lalu, tragedi malang menimpa Azalan akibat kemalangan jalan raya hampir melumpuhkan semangatnya sebagai seorang anggota tentera.
Namun, berkat kegigihan, sokongan keluarga serta rawatan yang diberikan, Azalan bangkit dan berikrar akan bertugas kembali walaupun kini hanya menggunakan kaki palsu.
Beliau yang ditemui di kediamannya baru-baru ini meluahkan rasa bersyukur kerana proses penerimaan kaki palsu dari Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan diperolehi dengan cepat.
“Saya sangat terharu dan berterima kasih dengan penghargaan yang diberikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain yang prihatin terhadap saya,
“Terima kasih juga kepada mereka yang terlibat menguruskan kaki palsu ini sehingga saya mampu berdiri sendiri dan berjalan semula. Sekarang saya tak sabar untuk bekerja semula,
“Datuk Seri Ismail Sabri turut menyarankan saya agar bekerja semula dan disokong oleh Panglima Tentera Darat,” katanya kepada Air Times.
Azalan turut berikrar akan membuktikan bahawa dirinya mampu bekerja semula walau keadaan dirinya tidak seperti dahulu.
“Saya akan membuktikan dengan keadaan seperti ini, saya mampu bekerja kembali. Semangat ingin bekerja kini sangat membara dalam diri saya walaupun dengan kaki palsu ini,” tambahnya.
Sementara itu, isteri Azalan, Nor Fadilah Mohd Sidek, 33, turut meluahkan rasa bersyukur dan terharu dengan lawatan Menteri Kanan Pertahanan dan Panglima Tentera Darat ke kediaman mereka.
Selain itu, Nor Fadilah turut rasa berbangga dan terharu apabila Azalan di pakaikan pangkat kepada Sarjan pada masa yang sama.
“Saya sangat terharu dan terkejut apabila Azalan di pakaikan pangkat Sarjan di hadapan Menteri dan Panglima pada hari ini,
“Tak terucap sebenarnya apa yang saya rasa tapi sungguh terharu dan tak sangka suami dapat pakai pangkat sekaligus,” tambahnya.
Nor Fadilah berkata, semua ahli keluarga suaminya yang sentiasa memberi sokongan dan menghulurkan bantuan menjadi pemangkin untuk dirinya menerima serta menguruskan keadaan Azalan.
“Waktu dapat tahu suami kemalangan tu, saya tengah mengandung 7 bulan dan saya memandu sendiri ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta menjaganya selama dua bulan,
“Seminggu lepas pulang dari HKL, Azalan dimasukkan ke HAT Mizan selama hampir sebulan. Waktu itu, saya dah tak boleh jaga dan pasukan hantar anggota untuk menguruskan suami di HAT Mizan,
“Adik beradik suami memang bagi semangat kepada saya sepenuhnya dan sentiasa bantu kami sampai hari ini. Alhamdulilah sokongan keluarga banyak membantu kami,” ujarnya.
Terdahulu, Ismail Sabri diiringi Zamroe telah membuat lawatan kebajikan di kediaman Sjn Azalan di Felda Sebertak, Bera, Pahang pada 6 Mac lalu.
Dalam lawatan itu juga, Ismail Sabri telah menyampaikan sumbangan kaki palsu dan menyempurnakan pemakaian pangkat Pemangku Sarjan kepada Azalan yang kehilangan kaki kiri akibat kemalangan yang dialami pada 15 Disember 2019 yang lalu. – airtimes.my